KOTA KINABALU: Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang remaja lelaki yang hilang ketika mandi di Pantai Karambunai, di sini, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi SAR mangsa yang diaktifkan sejak jam 1.30 petang itu diteruskan hari ini, selepas ditangguhkan petang semalam.
Katanya, setakat ini tiada sebarang penemuan positif dilaporkan berhubung mangsa, Yusof Sihud, 19, selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama dua rakannya.
“Operasi SAR hari kedua disambung pada jam 7 pagi tadi dengan bantuan beberapa aset daripada agensi lain antaranya Bot Ronda Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bot Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) serta bot ronda Maritim Malaysia membabitkan hampir 40 anggota.
“Kawasan pencarian dipecahkan kepada lima sektor meliputi keluasan seluas 71 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Rosli berkata, Pengkalan Hadapan Carilamat juga didirikan di Pantai NEXUS Karambunai bagi menyusun atur operasi pencarian.
Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada komuniti maritim setempat untuk melaporkan sekiranya menemui sebarang petunjuk berkaitan kes kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 atau talian MERS 999.
Tamat







