Larikan Remaja Perempuan, Seorang Warga Asing Ditahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Kota Kinabalu: Tidak sampai tempoh lapan jam, polis daerah ini berjaya menyelesaikan satu kes melarikan remaja perempuan dalam kejadian di sebuah kedai di Taman Dah Yeh Villa, Luyang, di sini, Isnin lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari namun hasil kecekapan siasatan polis berjaya menahan suspek pada jam 7.30 malam, hari yang sama.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 14 tahun dikatakan pergi ke kedai berkenaan untuk membeli kad prabayar.

Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba ditarik oleh suspek berusia 16 tahun secara kekerasan sebelum dipercayai dilarikan menaiki sebuah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dilakukan, polis berjaya mengesan kejadian hasil rakaman kamera litar tertutup dari salah sebuah kedai berhampiran.

“Hasil siasatan dan maklumat diterima, seorang remaja lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan remaja perempuan itu berjaya ditahan di kawasan berhampiran kira-kira jam 7.30 petang.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut sebelum kes dirujuk ke mahkamah untuk proses pendakwaan dijalankan,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa berjaya ditemui semula dan hasil pemeriksaan tiada sebarang kecederaan dikesan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Difahamkan, suspek juga adalah kenalan kepada mangsa yang terbabit,” katanya.

Tamat