
KOTA KINABALU: Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCEIC) memulakan operasinya ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.
Namun, ia memilih untuk memimpin, berpegang pada objektif, dan mempromosikan perubahan untuk memberi inspirasi kepada rakyat.
Menariknya, perjalanan yang sukar itu tidak ditempuhi bersendirian, sebaliknya SCEIC menerima sokongan dan bantuan daripada 30 individu serta organisasi bersama-sama mengembangkan bakat rakyat Sabah.
Pengurus Besar SCEIC, Viviantie Sarjuni, berkata majoriti mereka menawarkan perkhidmatan secara sukarela kerana memahami kekangan sumber yang dihadapi disebabkan pandemik COVID-19.
“Model rakan kerjasama awam – swasta – komuniti (PPC Partnership) menjadi panduan kami untuk memastikan semua dibabitkan dan tiada satupun yang tertinggal.
“Paling mustahak kita mesti mengenal pasti pemain dalam ekosistem, peranan mereka dan bagaimana kita boleh melengkapi antara satu sama lain dan memanfaatkan kemahiran serta kelebihan masing-masing untuk mewujudkan impak yang lebih besar di lapangan,” katanya.
Pengiktirafan melalui Anugerah.
Bagi mengiktiraf kerja keras semua rakan kongsi yang banyak menyokongnya, SCEIC memberikan penghargaan menerusi 30 ‘Honourable Mentions (individu dan organisasi), Enabler Award dan ACE Award.
“Kita juga memilih mereka berdasarkan kerja dan sumbangan yang mereka lakukan kepada komuniti sejak sebelum pembentukan SCEIC pada 2020.
“Merekalah yang membuka jalan untuk kita bagi membolehkan lebih banyak inisiatif akar umbi di lapangan. Ringkasnya, mereka adalah hero kita yang tidak didendang.
“Nilai sama (dalam kalangan mereka) adalah keinginan untuk melangkau jauh daripada apa yang diperlukan, semangat patriotisme walaupun berbeza latar belakang dan kita ada tujuan yang sama memupuk bakat kita di Sabah,” katanya.
Viviantie menyatakan, platform Co-ETIC Mentoring secara atas talian contohnya, yang mana pakar bidang, termasuk agensi kerajaan dan korporat bekerjasama sama untuk menjadi mentor kepada bakat dari Sabah.
Katanya, ia adalah perkhidmatan secara sukarela dimana mentor memperuntukkan masa dan kepakaran mereka untuk mengasuh bakat menerusi sesi bulanan yang dipersetujui bersama.
Bagi Enabler Award, katanya penghargaan diberikan kepada pemimpin ekosistem dari sektor awam, swasta dan komuniti yang memberikan sokongan ke arah membolehkan rakan kongsi lain di dalam ekosistem untuk bekerja bersama-sama, selain menggalakkan inisiatif di peringkat akar umbi.
“Mereka adalah pemimpin yang mempunyai pandangan yang jauh dan mampu melihat gambaran secara menyeluruh tentang bagaimana kita boleh melestarikan ekosistem ini dengan bekerja bersama-sama.
“Contohnya mungkin teknologi bukan bidang kepakaran mereka tetapi mereka tahu sebagai pemimpin teratas mereka perlu memberikan sokongan. Jika tidak, kita akan sentiasa ketinggalan,” katanya dengan mengambil contoh penganjuran MyHackathon 2020 Kota Kinabalu pada Disember lalu.
Viviantie berkata, melalui program ini, SCEIC berjaya mendapatkan sokongan bukan saja daripada K.K.I.P Sdn Bhd, malah institusi pendidikan tinggi, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Dua peserta ‘startup’ dari Sabah berjaya memenangi pelaburan berjumlah RM500,000 daripada Cradle Sdn Bhd, sebuah agensi kerajaan di bawah MOSTI yang juga penganjur utama pertandingan MyHackathon.
“Tanpa semua pemain, kita tentunya tidak mendapat maklum balas yang sebaik ini daripada peserta,” katanya.
Yang ketiga, iaitu ACE Award, adalah anugerah khas kepada Khairilizwan Jamros dari Khaiz Empire yang secara konsisten membantu SCEIC khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dengan menyediakan kandungan relevan dan teknologi perlu kepada SCEIC.
Anugerah piala 3D hasil komuniti teknologi dari Tenom
Semua penerima ketiga-tiga anugerah akan menerima piala cetakan 3D yang direka dan dicetak oleh ahli pasukan Tenom Innovation Centre (TIC) dari SMJK Chung Hwa.
TIC ialah sebuah ‘makerspace’ di Tenom yang terbuka kepada semua pelajar dari kawasan sekitarnya.
Ia menggalakkan pelajar yang mempunyai minat sama dalam komputer, mesin, teknologi, sains, seni digital atau seni elektronik untuk bertemu, bersosial dan berkolaborasi.
“Dengan kolaborasi ini, kita harap untuk membantu TIC membeli peralatan baharu atau menaik tarafnya untuk projek mereka pada masa akan datang.
“Selain itu, penghargaan ini juga dapat membantu mengetengahkan komuniti dan organisasi yang melaksanakan kerja dengan baik membina bakat di Sabah. Mereka berhak mendapat penghargaan atas kerja keras dan semangat untuk membantu Sabah.
“Sesetengah daripada mereka bukan dari Sabah tetapi menyedari potensi bakat kita di sini, mereka datang menawarkan kepakaran dan bantuan. Ada yang sanggup terbang dari Kuala Lumpur menggunakan duit sendiri walaupun agak mencabar disebabkan kekangan pandemik,” kata Viviantie.
Pelan masa depan SCEIC untuk melahirkan lebih ramai startups, bakat kreatif, perekacipta berinovasi
SCEIC mahu merapatkan lagi hubungan bukan saja dengan organisasi, malah individu yang mahu menjadi sebahagian daripada inisiatif SCEIC untuk menggalakkan agenda teknologi, inovasi dan kreativiti di Sabah.
“Siapa tahu kita mungkin mampu mengeluarkan ‘unicorn startup’ dari Sabah? Setanding dengan Grab, Lazada atau menghasilkan filem animasi bertaraf dunia yang setanding dengan Disney? Atau mungkin menghasilkan teknologi dron atau robot yang boleh membantu meningkatkan operasi pertanian di luar bandar?
“Namun, SCEIC tidak boleh melakukan ini bersendirian, ia memerlukan seluruh pemain ekosistem untuk bekerja bersama dan menjadikannya satu kenyataan.
“Inisiatif penghargaan ini adalah satu simbol penghargaan dan tanda terima kasih kepada semua yang terlibat,” kata Viviantie.
TAMAT








