Tiada Sebarang Letupan Dilaporkan Berlaku.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

Kota Kinabalu: Polis tidak menerima sebarang maklumat berlakunya sebarang letupan yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Pantai Barat, negeri ini.

Perkara itu turut disahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengesahkan tiada sebarang amaran bencana alam termasuk gempa bumi yang berlaku di kawasan terbabit setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, beberapa elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dikerahkan menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan terlibat untuk melakukan pemantauan.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang insiden sama ada berkaitan letupan atau gegaran dilaporkan berlaku di mana-mana kawasan negeri ini.

“Polis juga sudah menjalankan siasatan dengan menghubungi beberapa lokasi sasaran penting antaranya syarikat seperti Asian Supply Base, Petronas Chemical Methanol dan Shell Hibiscus  namun tiada apa-apa insiden dilaporkan.

“Namun, ada laporan yang mendakwa bunyi letupan kuat yang didengari di beberapa lokasi Pantai Barat sebenarnya berlaku di kawasan Muara Teluk Brunei,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, polis bagaimanapun akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua kawasan berada dalam keadaan selamat.

Sehubungan itu, Hazani berkata, menasihati orang ramai supaya tidak menularkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Katanya, polis akan terus melakukan pemantauan dan memaklumkan kepada masyarakat sekiranya ada berlaku sebarang insiden yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Tamat