Papar: Padah membuat laporan palsu, seorang lelaki berusia 20-an yang mendakwa kononnya disamun di kawasan parkir sebuah pasar raya di daerah ini, semalam, ditahan polis.
Tipu helah lelaki terbabit terbongkar selepas siasatan polis mendapati perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, dalam laporan yang dibuat lelaki terbabit mendakwa dia didatangi dua lelaki yang memakai topi keledar dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, Sabtu lalu.
Katanya, lelaki itu mendakwa dua lelaki menyerangnya dengan menendang perutnya sehingga menyebabkannya terjatuh sebelum beg duit miliknya yang berisi dokumen penting dilarikan.
“Dia kemudianya datang ke Balai Polis Papar semalam, untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
“Hasil siasatan disyaki laporan yang dibuat itu mencurigakan dan siasatan lanjut akhirnya dia mengaku laporan yang dibuat adalah palsu dan direka semata-mata,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Batholomew berkata, dokumen penting miliknya juga tidak hilang seperti yang didakwa.
“Orang ramai diminta supaya tidak membuat laporan palsu berkaitan sebarang tuntutan atau dokumen. Pihak PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya jika didapati membuat laporan palsu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Kesekaan kerana memberi maklumat palsu,” katanya.
tamat






