
Kota Kinabalu: Polis Sabah berjaya merampas sebanyak 10 kontena berisi rokok dan minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM1.89 juta dalam serbuan di sebuah kawasan lapang berhampiran Taman Famosa, Jalan Bundusan, di sini, 25 Januari lalu.
Serbuan jam 4.30 petang yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan dibantu IPD Penampang itu turut menahan empat lelaki berusia 13 hingga 37 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya merampas 2,672 karton minuman keras dan 190 kotak rokok pelbagai jenama.
Katanya, empat lelaki yang berperanan sebagai pengurus, penjaga, pemandu dan kelindan lori turut ditahan ketika serbuan.
“Kejayaan ini adalah hasil maklumat disalurkan masyarakat kepada pihak polis. Semua barangan ini dipercayai diseludup masuk dari Labuan ke negeri ini untuk pasaran tempatan.
“Semua rampasan minuman keras jenama Tiger, Anchor, Carlberg’s, Sea Pearl, Royal Stout, Skol dan German Graft serta rokok ini disembunyikan di dalam 10 kontena,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, hari ini.
Jauteh berkata, anggaran rampasan termasuk cukai dianggarkan bernilai keseluruhan RM1,899,653 juta.
Katanya, semua individu yang ditahan sudah direman untuk membantu siasatan lanjut sebelum pendakwaan dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 dan tidak lebih 20 kali ganda atau RM500,000.
“Pesalah juga boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
Tamat









