Kota Kinabalu: Sebutir bom dipercayai bahan letupan lama ditemui di Kampung Mengkadang, Kolombong, di sini, hari ini.
Bom berkenaan ditemui kira-kira jam 10.30 pagi oleh penduduk kampung sebelum melaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bom yang ditemui berkenaan dipercayai masih lagi berada dalam keadaan aktif.
Katanya, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Bom berkenaan kemudiannya dibawa ke Lapang Sasar PDRM, Lok Kawi, di sini, untuk pelupusan.
“Proses pemusnahan bom dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu Habibi menasihati orang ramai yang menemui sebarang objek mencurigai atau dipercayai bom supaya segera melaporkan kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut.
“Orang dinasihatkan supaya tidak mengusik, mengalihkan atau mengerakkan objek berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.
Tamat






