Pemandu Terselamat, Kereta Terbabas dan Terbakar.

Penampang: Seorang lelaki amat bernasib apabila terselamat selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah lori sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Kibabaig Panglima Banting, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa berusia 30-an itu yang dikatakan memandu seorang diri tiba-tiba hilang kawalan kenderaannya dan terus memasuki laluan bertentangan.

Kenderaan mangsa terus merempuh sebuah lori tiga tan sehingga mengakibatkan Perodua Viva dipandunya terpusing dan terbakar.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, lori yang dirempuh mangsa turut terbabas ke bahu jalan.

Katanya, pemandu Perodua Viva sempat menyelamat diri dengan bergegas keluar dari keretanya yang sudah mula terbakar.

“Kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar daripada kenderaan yang terbabit.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen RUL10 LN 166/99,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman api segera dimulakan dan kenderaan berkenaan terbakar hampir 90 peratus.

“Api berjaya dikawal beberapa minit selepas itu dan operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam selepas dipastikan tiada lagi punca-punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Tamat