DUA BOT DIUSIR KELUAR DARI PERAIRAN SANDAKAN

SANDAKAN: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, berjaya diusir ketika cuba menceroboh masuk perairan negara, berhampiran Pulau Berhala, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki yang mengaku dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan Sandakan kira-kira jam 11 pagi ketika rondaan di kawasan tanggungjawab dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, pasukan PPM mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan cuba memasuki perairan negara.

Katanya, pasukan PPM terus melakukan pemintasan terhadap kedua-dua bot untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati dua lelaki berada di dalam bot masing-masing dan mendakwa berasal dari Pulau Taganak, Filipina.

“Dua bot berkenaan kemudiannya diusir keluar dengan diiringi sehingga melepasi sempadan perairan negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di perairan negara khususnya bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.

“PPM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.

Tamat