KOTA KINABALU: Seorang pembantu kedai warga Pakistan berusia 20 tahun ditahan polis selepas dipercayai meliwat seorang remaja lelaki, di pekan Telipok, di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian jam 10.25 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun itu dikatakan pergi ke kedai tempat suspek bekerja untuk membeli air.
Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya memperdayakan mangsa dengan memujuknya masuk ke dalam kaunter sebelum meliwat remaja terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek ditahan polis, 9 Mac lalu susulan laporan polis dibuat oleh mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dipujuk oleh suspek untuk masuk ke bahagian kaunter sebelum meminta mangsa memegang kemaluannya.
“Bimbang dicederakan, mangsa terpaksa menuruti kemahuan suspek yang kemudian membuka seluar mangsa sebelum meliwatnya.
“Suspek kemudiannya memberikan minuman dan wang sebanyak RM5 sebagai ganjaran dan mangsa terus pulang ke rumahnya,” katanya.
Habibi berkata, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya sebelum dibawa membuat laporan polis pada 8 Mac lalu.
“Suspek ditahan jam 11.17 pagi, 9 Mac lalu dan kini direman untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan atas kesalahan meliwat,” katanya.
tamat





