KPDNHEP Serbu Dua Premis.

Kudat: Dua premis yang dikesan cuba mengelirukan pengguna berkaitan penjualan produk halal, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kudat, semalam.

Operasi jam 10 pagi itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kudat bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat dan Lembaga Bandaran Kudat (LBK).

Ketua Cawangan KPDNHEP Kudat, Geoffrey Gumalang berkata, kes pertama membabitkan sebuah restoran yang membekalkan makanan dengan mengelirukan kononnya makanan yang dibekalkan adalah halal dan boleh dimakan oleh orang Islam.

Namun katanya, makanan yang disediakan itu tidak diperakukan oleh pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Bagi kes kedua membabitkan sebuah pasar raya yang didapati menjual barang makanan yang diimport dari China dan dikategorikan sebagai halal.

“Namun hasil pemeriksaan barangan itu turut tidak mempunyai sebarang perakuan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Geoffrey berkata, semua barangan berkaitan kes berkenaan kemudiannya disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua hasil rampasan dianggarkan bernilai keseluruhan mencecah RM1,148.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Tamat