Dua Mayat Ditemui Di Lokasi Berasingan.


Labuan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerima dua laporan penemuan mayat di dua lokasi berasingan, semalam.

Mayat pertama dilaporkan ditemui orang awam pada jam 9.45 pagi di pesisir Pulau Rusukan Besar, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, siasatan awal mendapati mayat pertama yang ditemui dipercayai seorang lelaki.

Katanya, mayat berkenaan yang ditemui dalam keadaan berbaju Kemeja T dan berseluar pendek sudah mereput sebahagian besar tubuh badannya.

“Setakat ini, identiti mayat masih belum dapat dikenalpasti dan pihak polis juga belum menerima sebarang laporan kes orang hilang dalam tempoh terdekat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat kehilangan mana-mana individu atau ahli keluarga diminta supaya segera melaporkan ke mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, mayat sudah dihantar ke Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sementara itu, Mohd Ibrahim berkata, pada jam 2.20 petang, pihaknya menerima satu lagi laporan cubaan membunuh diri di kawasan  semak Pantai Damai, Kampung Layang-Layangan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan polis mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan berbaring dipercayai sudah meninggal dunia.

“Polis menemui satu tali yang tergantung pada pokok berhampiran mayat dan pemeriksaan awal terhadap badan mangsa juga mendapati terdapat kesan jerutan di leher mangsa.

“Siasatan juga mendapati, mayat mangsa diturunkan seorang saksi yang mendapat maklumat mengenai cubaan bunuh diri di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki warga tempatan, berusia 21 tahun.

Katanya, mangsa dipercayai membunuh diri akibat menghadapi tekanan hidup.

“Walaubagaimanapun, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, setakat ini, kedua-dua kes penemuan mayat berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Tamat