Sabah Mampu Meraih Tiga Mata.

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah FC mampu meraih tiga mata dalam perlawanan, Sabtu ini, berdasarkan prestasi yang dimiliki ketika ini.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, apa yang penting bagi setiap pemain adalah memberi fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan itu nanti.

Katanya, dalam perlawanan sebelum ini menentang Pulau Pinang, Sabah bermain dengan baik dan hampir meraih tiga mata namun tercicir di minit-minit akhir.

“Saya amat yakin berdasarkan prestasi pasukan Sabah dalam perlawanan sebelum ini, kerana Pulau Pinang adalah sebuah pasukan yang cukup kuat.

“Dengan prestasi ini, kita akan mampu meraih tiga mata dan seterusnya mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang,”’katanya ketika ditemui pada majlis sungkai Sabah FC di SICC, hari ini.

Selain itu, Bung Moktar berkata, pemain pasukan Sabah juga harus mempamerkan semangat juang yang tinggi selepas ini.

Katanya, semangat kekitaan, kecintaan dan kasih sayang kepada pasukan perlu ditanam di dalam jiwa pemain masing-masing agar dapat memberikan persembahan terbaik.

“Bola sepak mempunyai cabaran dalam pelbagai aspek termasuk kewangan, perancangan dan strategi untuk melahirkan pasukan hebat.

“Oleh itu, perkara-perkara yang tidak sewajarnya, saya minta jangan lagi ditimbulkan kerana ia hanya akan merosakkan pasukan,”’katanya.

Bung Moktar berkata, sebagai pemain, mereka perlu memberikan kualiti terbaik untuk membawa lebih banyak kejayaan kepada pasukan Sabah.

Tamat