11,000 Bubur Lambuk Diagihkan di 12 Lokasi.

Kota Kinabalu: Sebanyak 11,000 bubur lambuk diagihkan di 12 lokasi sekitar Parlimen Sepanggar yang dianjurkan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), hari ini.

Bubur berkenaan yang disediakan di beberapa lokasi terpilih diagihkan untuk penduduk di kawasan perkampungan, perumahan dan sekitar.

Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang hadir merasmikan program berkenaan berkata, program berkenaan adalah sumbangan ikhlas yang diusahakan UPKO Bahagian Sepanggar.

Katanya, ia diadakan sempena bulan mulia Ramadan dan bertujuan mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat.

“Tahun ini, sebanyak 11,000 bubur lambuk diagihkan dan program ini dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kami berharap, semoga usaha ini mengekalkan tradisi pengagihan bubur lambuk dan sekaligus dapat mengekalkan jalinan ikatan silaturahim antara UPKO dan rakyat” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian UPKO Sepanggar Datuk Wong Thien Fook dan tokoh usahawan terkemuka Sabah Datuk Seri Marajoh Unding.

Sementara itu, Marajoh dalam ucapannya berkata, pengagihan bubur lambuk ini adalah aktiviti tahunannya terutamanya dalam mengimarahkan semangat Ramadan.

Malah katanya, ia juga menjadi satu wadah dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Difahamkan, bubur lambuk berkenaan diagihkan di beberapa lokasi di Kampung Likas, Taman Puri Warisan, Kampung Numbak, Kampung Lok Madas, Kampung Delima dan Kampung Unggun, Manggatal.

Selain itu, agihan bubur lambuk turut dilakukan di Taman Jaya Diri, Kampung Lok Poring, Kampung Padas dan Pekan Telipok.

Tamat