Siasatan Perlu Dilakukan.

Kota Kinabalu: Pendedahan yang dibuat bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador berhubung isu rasuah politik dan campur tangan menteri dalam penyusunan pasukan polis amat serius dan perlu segera disiasat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, bekas KPN itu jelas menyatakan bahawa ada orang politik yang menaiki jet peribadi ke negeri ini untuk melakukan ‘sesuatu’.

Katanya, Hamid turut menyatakan wujud campur tangan dalam pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menentukan perjawatan.

“Hamid menegaskan, apabila berlaku perubahan kerajaan dan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, ada pihak yang mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan siapa yang boleh ditempatkan di sana dan di sini.

“Kami berpendapat kedua-dua pendedahan besar ini merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, di sini, hari ini.

Turut hadir membuat laporan Ketua Pemuda DAP Sabah yang juga ADUN Luyang Phoong Jin Zhe, Pemangku Setiausaha, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah dan Pengerusi Parti Amanah Sabah, Lahirul Latigu.

Ewon berkata, pendedahan berkenaan sangat serius dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa termasuklah PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, rakyat berhak menghakimi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan pendedahan berkenaan.

“Rakyat juga berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada PDRM, iaitu untuk memastikan keselamatan dalam negara terpelihara dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, bukannya perkhidmatan untuk tujuan politik parti pemerintah.

“Justeru itu, kami bersama-sama dengan rakyat mahu siasatan penuh terhadap pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador dilakukan dan menuntut kebenaran daripada kerajaan hari ini,” katanya.

Ewon berkata, beliau masih yakin Malaysia boleh ditadbir dengan lebih baik, tetapi bukan dengan cara kepimpinan sepertimana didedahkan oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya, harapan urustadbir yang lebih baik tetap ada, tetapi bukan pada kepimpinan negara yang ada sekarang.

“Harapan itu terletak pada kepimpinan alternatif baharu, oleh generasi yang baharu,” katanya.

Tamat