Pemandu Terbabas Akibat Masalah Kesihatan

Penampang: Seorang lelaki yang terbabas sendiri melanggar tembok sebuah premis di Jalan Penampang Baru, di sini, semalam, dipercayai mengalami masalah kesihatan.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan menerusi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa disyaki meninggal dunia akibat masalah kesihatan.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Tamat