
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, mengesahkan siasatan kes gangguan seksual membabitkan peserta Unduk Ngadau selesai dan proses pendakwaan akan dijalankan esok.
Pesuruhjaya polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, hasil siasatan berkenaan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan kes berkenaan selesai berikutan proses soal siasat terhadap 12 individu yang dipercayai terbabit sudah diambil keterangan.
“Seramai 12 individu disoal siasat termasuk peserta Unduk Ngadau dan seorang lelaki warganegara Australia yang bekerja dengan suspek dalam kes ini.
“Tahanan reman ahli politik terbabit juga sudah berakhir semalam dan kini menunggu tindakan dan arahan selanjutnya daripada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Ahli politik berkenaan ditahan polis 3 Jun lalu, bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang diterima daripada salah seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa dicabul suspek.
Selain itu, polis turut menerima satu lagi laporan daripada pengawal keselamatan yang mendakwa dikasari suspek di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang bulan lalu.
Tamat









