Polis Mulakan Siasatan Video Fitnah Di Media Sosial.

Tenom: “Kertas siasatan sudah dibuka bagi menyiasat satu video tular dilaman sosial facebook membabitkan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai unsur fitnah, baru-baru ini,” Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid.

Menurutnya, siasatan dijalankan selepas polis menerima lima laporan berhubung rakaman video berkenaan yang dikeluarkan menerusi akaun facebook ‘Mark Of The Beast 666 North Borneo’.

Katanya, video berdurasi dua minit 15 saat itu memaparkan seorang lelaki yang mendakwa bakal isterinya dibelasah empat lelaki sehingga lumpuh.

“Wanita berusia 21 tahun terbabit sudah tampil membuat laporan polis bagi menafikan dibelasah atau dicederakan seperti didakwa dalam rakaman video berkenaan.

“Wanita itu turut mendakwa, empat lelaki yang disebut di dalam video berkenaan juga adalah bapa kandung dan tiga sepupunya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hasan berkata, wanita terbabit kini berada dalam keadaan baik dan sihat serta tinggal bersama keluarganya di Kampung Jawa Sumbiling, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki di dalam rakaman video berkenaan adalah bekas teman lelaki kepada wanita terbabit.

“Video berkenaan ditularkan lelaki itu dipercayai kerana tidak berpuas hati selepas hubungan mereka terputus kerana tidak mendapat restu keluarga wanita terbabit.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat fitnah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Hasan menasihati orang ramai supaya tidak mensensasikan kenyataan berkenaan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menjalankan siasatan penuh.

Tamat