Labuan: Aktiviti sembilan individu termasuk tiga kanak-kanak berakhir insiden mencemaskan selepas semua mereka dilaporkan tersesat di hutan di Marinding Trail, di sini, malam tadi.
Malah salah seorang daripada kumpulan berkenaan turut mengalami kecederaan di kaki sehingga tidak mampu berjalan selepas dipercayai terjatuh di hutan berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, mengikut rekod, mangsa membabitkan tiga kanak-kanak, tiga remaja, dua lelaki dan seorang wanita dewasa berusia lingkungan tiga hingga 36 tahun.
Katanya, kumpulan terbabit tersesat selepas gagal menemui jalan keluar ketika menuruni bukit berkenaan.
“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 petang daripada salah seorang mangsa yang meminta bantuan.
“Bertindak atas maklumat, seramai lapan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan dan BBP Layangan dikerah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sebaik ditemui, pasukan bomba terus membawa semua mangsa turun manakala wanita berusia 27 tahun yang cedera dibawa turun menggunakan pengusung.
“Semua mangsa berjaya diselamatkan pada jam 8.25 malam dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Tamat







