Penampang: Seorang lelaki warga emas yang patah kaki selepas cuba menyelamatkan diri dari kejadian tanah runtuh diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian di Kampung Sugud, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, pasukan penyelamat bomba bagaimanapun terpaksa meredah lumpur selain memotong dahan pokok untuk sampai ke rumah mangsa yang berusia 89 tahun.
Ketua Operasi Bomba, Jamaludin Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 8.19 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bomba kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati jalan ke rumah mangsa dihalang tanah runtuh dan pokok tumbang serta kabel elektrik.
“Pasukan bomba terpaksa bertindak melakukan operasi pemotongan kayu bagi memberi laluan masuk ke rumah mangsa sejauh kira-kira 500 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jamaludin berkata, sebaik berjaya sampai ke rumah berkenaan, mangsa didapati patah kaki selain menghidapi sakit tua.
Katanya, selepas diberikan rawatan awal dan pemasangan ‘lower limb’ di kaki, mangsa yang berada dalam keadaan stabil terus dibawa keluar ke jalan utama.
“Sebaik sampai ke jalan utama, mangsa terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Tamat










