Beaufort: Seorang kontraktor yang dipercayai menipu mangsa dalam perjanjian pembinaan rumah ditahan selepas satu laporan polis terhadapnya.
Suspek, 37, yang menawarkan perkhidmatan bina rumah itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort jam 3.30 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek membuat perjanjian dengan mangsa untuk pembinaan rumah berkeluasan 83 meter persegi pada Februari lalu
Katanya, suspek turut meminta mangsa untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM43,000 sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan.
“Mangsa kemudiannya membuat tiga transaksi pembayaran pendahuluan kepada syarikat milik suspek.
“Bagaimanapun, selepas pembayaran dilakukan, kerja-kerja pembinaan rumah tidak pernah dijalankan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, mangsa cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan maklumbalas namun gagal dihubungi.
Katanya, mangsa kemudiannya pergi ke pejabat penama yang beralamat di Asia City, Kota Kinabalu, namun terkejut selepas mendapati pejabat berkenaan tidak lagi wujud.
“Mangsa yang menyedari tertipu kemudiannya membuat laporan polis dan siasatan terus dijalankan sehingga suspek berjaya ditahan.
“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tamat






