Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat perlu memperbetulkan fakta sejarah pembentukan Malaysia dan seterusnya menjadikan sambutan Hari Malaysia disambut bersama-sama oleh rakyat seluruh negara.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, banyak perkara yang bercanggah secara realitinya termasuk berkaitan usia negara ini.
Katanya, ia berikutan ada pihak masih beranggapan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh pembentukan negara.
“Walaupun umum mengetahui Malaysia dibentuk melalui penggabungan Persekutuan Tanah Malayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 namun, masih ada yang merujuk usia negara ini pada tahun 1957.
“Rakyat Sabah dan Sarawak tersinggung apabila ada pihak yang menyatakan umur Malaysia tahun ini adalah 64 tahun sama ada melalui kenyataan awam, media massa, media alternatif dan medium yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.
Donald berkata, semua tahu Malaysia dibentuk oleh empat wilayah iaitu Persekutuan Tanah Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.
Oleh itu katanya, ia amat jelas sekali, usia Malaysia sebenarnya baru mencecah 58 tahun.
“Apakah usaha kerajaan persekutuan kini untuk memastikan supaya fakta sejarah yang amat penting ini diketahui oleh semua rakyat majmuk Malaysia dengan jelas, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda negara kita,”katanya.
Donald yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam ucapannya turut mempersoalkan berhubung sambutan Hari Malaysia yang hanya digilirkan di antara Sabah dan Sarawak.
Katanya, sejak Hari Malaysia dijadikan perayaan nasional pada 2011 hanya dua negeri itu dijadikan lokasi sambutan peringkat kebangsaan.
“Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan, sejak Hari Malaysia dijadikan cuti umum negara pada 2010 dan sejak perayaan nasional Hari Malaysia dimulakan pada 2011, kenapakah perayaan nasional Hari Malaysia ini selepas itu hanya diadakah secara bergilir-gilir di antara Sabah dan Sarawak sahaja?
“Kenapa tidak secara bergilir-gilir di antara semua negeri-negeri di negara kita ini? Bukankah ini akan membantu untuk mendidik rakyat mengenai fakta sejarah hari yang terpenting bagi kita sebagai warga Malaysia,” katanya.
Donald berkata, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Undang-Undang dan Parlimen) diharap dapat melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan itu.
“Saya yakin dan percaya kedua-dua mereka sedia maklum dan faham dengan keluhan-keluhan rakyat jelata di Sabah dan Sarawak.
“Sebagai anak watan pulau besar Borneo juga, saya memegang harapan yang besar bahawa mereka berdua ini dengan sokongan daripada YAB PM dan jemaah menteri akan dapat menyelesaikan isu-isu yang genting, penting dan begitu sensitif kepada rakyat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Tamat










