Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing yang bertindak agresif termasuk cuba merempuh polis ketika melarikan diri berjaya ditahan polis dalam kejadian di Manggatal, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, polis melepaskan dua das tembakan ke tayar kereta Perodua Myvi berkenaan sebelum suspek melarikan diri.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, kereta suspek kemudiannya hanya mampu pergi sejauh kira-kira 120 meter sebelum ditahan polis.
Katanya, terdahulu dalam kejadian itu, suspek cuba ditahan dalam operasi ‘Op Tapis’ yang dijalankan polis selepas mengesyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
“Ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan merempuh kenderaan pasukan beberapa kali.
“Suspek turut cuba melanggar anggota polis namun disempat dielakkan sebelum melepaskan dua das tembakan ke tayar hadapan kiri dan kanan kenderaan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
George berkata, sebaik ditahan, pemeriksaan kemudiannya membawa kepada penemuan dua paket plastik lutsinar setiap satu berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Anggata berat kasar keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 100 gram dan suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tamat








