Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan terhadap amalan kartel berbentuk tipuan bida (bid rigging), termasuk dalam tender pembekalan makanan, terus diberikan tumpuan selaras dengan dasar perolehan kerajaan yang mengutamakan kaedah tender.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu turut diperkukuh menerusi penyediaan peruntukan tambahan bagi memperkasakan unit berkaitan tipuan bida bermula 2024.
Beliau berkata, pada 13 Oktober 2026, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan baharu terhadap 18 perusahaan yang didakwa terbabit dalam aktiviti kartel tipuan bida.
“Kes ini melibatkan unsur pakatan kartel oleh sejumlah perusahaan dalam 30 tender bagi pembekalan makanan, termasuk kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), serta penyediaan perkhidmatan pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Armizan berkata, tender berkenaan dibuka oleh 12 entiti sektor awam, merangkumi enam kementerian, tiga IPTA, dua jabatan agama Islam negeri dan sebuah badan berkanun Persekutuan, dengan jumlah keseluruhan nilai perolehan sebanyak RM108.3 juta.
Menurutnya, antara bukti yang diperoleh MyCC ialah penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk harga bidaan yang dicadangkan, serta perkongsian sumber kewangan dan manusia antara perusahaan terbabit.
Beliau berkata, perusahaan berkenaan kini diberi peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dikeluarkan selepas mengambil kira representasi yang diterima serta bukti yang diperoleh sepanjang penyiasatan.
“Termasuk keputusan terbaharu ini, statistik keseluruhan bagi keputusan cadangan dan keputusan akhir menunjukkan MyCC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat berhubung penglibatan dalam aktiviti tipuan bida, dengan jumlah penalti sebanyak RM98.49 juta.
“Pada masa sama, MyCC sedang giat menyiasat 510 syarikat yang disyaki terbabit dalam aktiviti sama, membabitkan tender bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor awam dan swasta,” katanya.
RUU Perbekalan 2027 dibentangkan pada 9 Oktober 2026 sebelum dibahaskan selama lapan hari, bermula 12 Oktober hingga 22 Oktober 2026.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada 25 Ahli Yang Berhormat yang membahaskan perkara berkaitan fungsi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sama ada dalam bentuk pandangan, cadangan mahupun pertanyaan.
Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2027 yang bertemakan Belanjawan MADANI Kelima: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, KPDN menerima peruntukan sebanyak RM2.366 bilion, meningkat 9.43 peratus berbanding RM2.162 bilion pada 2026.
Katanya, peruntukan itu merangkumi RM2.293 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM73 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Armizan berkata, KPDN menyambut baik peruntukan Belanjawan 2027 yang turut menyediakan peruntukan khusus bagi memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan, sekali gus mewujudkan ekosistem penguatkuasaan yang lebih telus dan berkesan.
“Sememangnya KPDN amat mengharapkan peruntukan yang bersesuaian bagi memperkasakan kecekapan dan ketangkasan penguatkuasaan, khususnya membabitkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC),” katanya.

Datuk Armizan Mohd Ali.



