Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyokong cadangan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas BIMP-EAGA (BIMP-EAGA Special Economic Zone) di Taman Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan menjadikan Sabah sebagai “Pintu Gerbang Timur Malaysia” (Eastern Gateway to Malaysia) berpotensi memperkukuh pembangunan perindustrian dan menarik pelaburan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya menyokong cadangan Yang Berhormat ini kerana perkara tersebut sudah lama sepatutnya dilaksanakan. Sepatutnya, POIC dibangunkan lebih awal daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya ketika menggulung perbahasan berhubung cadangan Ewon di Dewan Rakyat.
Johari berkata, POIC yang mempunyai keluasan lebih 4,400 ekar mempunyai kelebihan untuk dibangunkan sebagai hab perindustrian strategik di bawah inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
“Pertama, tanahnya sudah tersedia. Kedua, kawasan ini mempunyai kemudahan pelabuhan dengan kedalaman yang mencukupi. Selain itu, terdapat potensi untuk pembangunan logistik serta kemudahan penyimpanan,” katanya.
Menurutnya, pembangunan itu juga berpotensi memanfaatkan rantaian industri kelapa sawit yang merangkumi aktiviti pemprosesan, penapisan, oleokimia dan penghancuran isirung sawit.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak secara bersama menghasilkan hampir sembilan juta tan metrik minyak sawit mentah (CPO), bersamaan kira-kira 45 peratus daripada jumlah pengeluaran negara yang dianggarkan 20 juta tan metrik.
Bagi memperincikan cadangan itu, Johari menyarankan supaya khidmat perunding diperoleh menerusi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menyediakan kertas cadangan serta mengenal pasti sektor yang sesuai dibangunkan.
“Selepas itu, kita boleh mengadakan pembentangan. Saya juga akan menyokong cadangan ini untuk dibawa kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi. Di pihak MITI, kita akan meneliti aspek industri yang hendak dibangunkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor industri yang akan diberikan tumpuan perlu dikenal pasti secara khusus, terperinci dan berfokus bagi memastikan Sabah mendapat manfaat maksimum daripada pembangunan zon ekonomi khas berkenaan.
Sementara itu, Ewon merakamkan penghargaan atas kesediaan MITI menyokong cadangan itu dan menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan mengambil tindakan susulan terhadap saranan berkenaan.
Beliau turut menjemput Johari melawat POIC Lahad Datu sebagai langkah awal merealisasikan kerjasama tersebut.
“Saya juga mewakili Kerajaan Sabah menjemput Yang Berhormat Menteri untuk turun ke Sabah dan bersama-sama melawat POIC sebagai langkah awal sokongan terhadap cadangan yang telah kita rekodkan di dalam Dewan ini,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Ewon mencadangkan supaya POIC Lahad Datu dibangunkan sebagai zon ekonomi khas BIMP-EAGA bagi menjadikan Sabah sebagai pintu masuk timur Malaysia.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi merealisasikan usaha itu demi memperkukuh pembangunan perindustrian di negeri berkenaan.

Ewon (kiri) dan Johari (kanan) ketika tiba di pekarangan Dewan Rakyat sebelum memasuki dewan persidangan.










-218x150.jpg)