Dakwaan peruntukan jalan luar bandar Sabah, Sarawak dibatalkan tidak berasas – Mustapha

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa Kerajaan Madani membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak adalah tidak berasas serta perlu disertakan bukti yang jelas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan.
“Faktanya, peruntukan asal JALB di peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion pada 2026 kepada RM2.27 bilion pada 2027.
“Berdasarkan rekod, sebelum pentadbiran Kerajaan Madani, peruntukan JALB tidak pernah mencecah RM1 bilion. Peruntukan sebanyak RM1.09 bilion hanya diperkenalkan pada 2023.
“Ini bukti jelas komitmen pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Mustapha berkata, Kementerian Kewangan turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kepada kontraktor JALB.
“Langkah ini jelas menunjukkan kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan, sebaliknya menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan komitmen terhadap projek sedia ada dapat ditunaikan,” katanya.
Menurutnya, isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan sehingga mengakibatkan tunggakan serta kelewatan pembayaran kepada kontraktor.
Justeru, katanya, arahan penangguhan pengeluaran SST baharu pada 10 September 2026 merupakan langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, bukannya arahan pembatalan menyeluruh projek pembangunan.
Beliau berkata, kerajaan turut meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan.
“Langkah ini penting bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan melalui pengurusan kewangan yang lebih teratur, telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Mustapha menegaskan, dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan peruntukan atau pembatalan projek tidak wajar dibuat berdasarkan andaian semata-mata.
“Mana-mana pihak yang membuat dakwaan sedemikian wajar mengemukakan senarai projek, nilai peruntukan dan status pembatalan sebagai bukti,” katanya.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan Madani terhadap Sabah dan Sarawak turut dizahirkan menerusi Belanjawan 2027 yang menyaksikan peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sabah daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala Sarawak daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.
Selain itu, katanya, sebanyak RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri, termasuk kesinambungan pembangunan rangkaian jalan strategik.
“Saya ingin menegaskan bahawa pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan Kerajaan Madani.
“Keperluan memperbaiki jalan luar bandar, meningkatkan keterhubungan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah tidak pernah dipinggirkan,” katanya.

Datuk Ts. Mustapha Sakmud.