Oleh JOHN TAMBANAN
TUARAN: Golongan belia bukan sekadar pemimpin masa depan, sebaliknya turut menjadi pemandu ekonomi dan ejen perubahan utama yang diperlukan hari ini bagi merealisasikan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa golongan belia akan diteruskan menerusi pelbagai bentuk bantuan, dana dan latihan kemahiran bagi membolehkan anak muda bukan sahaja mendapatkan pekerjaan, malah berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.
Katanya, tumpuan strategik turut diberikan bagi memastikan golongan muda dilengkapi kemahiran tinggi, termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“Kerajaan Negeri meletakkan agenda pembangunan belia sebagai salah satu keutamaan kerana golongan ini bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi merupakan pemandu ekonomi dan ejen perubahan utama yang kita perlukan hari ini untuk menjayakan aspirasi pelan pembangunan SMJ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 di Padang Istiadat Pekan Tuaran, pada Khamis.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) bagi 2026, merangkumi dana pembangunan modal insan, geran persatuan belia, sektor sukan serta pembangunan usahawan muda menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
Selain itu, katanya, inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) turut disediakan untuk golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga, manakala platform Pemikir Muda Ketua Menteri membolehkan belia Sabah terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar dan polisi pembangunan negeri.
“Dewan Belia Sabah pula menjadi platform penyatuan dan perwakilan golongan belia untuk membincangkan isu serta hala tuju anak muda menerusi format pelaksanaan baharu di bawah seliaan kementerian berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, belia merupakan aset penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri, dengan Sabah memiliki golongan muda berbakat, kreatif, berkemahiran serta bersemangat tinggi.
Justeru, katanya, dasar dan inisiatif kerajaan negeri perlu diterjemahkan menerusi program yang benar-benar memenuhi keperluan golongan berkenaan.
Menyentuh penganjuran Karnival Tamu Belia Tuaran 2026, Hajiji berkata, program itu membuktikan golongan belia bukan sekadar pewaris kepemimpinan masyarakat dan negeri, malah rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti pada masa ini.
Katanya, karnival berkenaan menyediakan ruang kepada anak muda untuk berhimpun, berkongsi idea, mengetengahkan bakat, mengembangkan perniagaan serta membina jaringan kerjasama.
Menurutnya, tamu bukan sekadar tempat jual beli, sebaliknya sebahagian daripada khazanah kehidupan masyarakat Sabah yang menghubungkan peniaga, pengusaha kecil, petani, penggiat seni dan komuniti setempat.
“Apabila konsep tamu digabungkan dengan semangat dan kreativiti belia, kita dapat mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk aktiviti keusahawanan, kebudayaan, kesukanan, hiburan yang sihat serta perkongsian ilmu,” katanya.
Hajiji berharap karnival itu terus membuka peluang kepada golongan belia untuk memperkenalkan produk tempatan, mengetengahkan bakat seni dan budaya, menyertai pertandingan yang mampu membina keyakinan diri serta mengeratkan hubungan antara komuniti.
Beliau berkata, aktiviti seumpama itu perlu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk melahirkan belia yang berdikari, berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Pada masa sama, katanya, program berkenaan diharap dapat melahirkan usahawan baharu, merangsang kerjasama perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan, memperluas jaringan komuniti serta mencetuskan idea yang boleh dikembangkan pada masa hadapan.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan Sabah berdasarkan keutamaan, kemampuan sumber yang ada dan acuan tersendiri.
Beliau turut berharap golongan belia di Tuaran dapat menjadi contoh kepada belia di daerah lain dari segi kreativiti, semangat kesukarelawanan, keusahawanan dan perpaduan masyarakat.
Katanya, kejayaan pembangunan belia turut bergantung pada kesungguhan golongan itu sendiri, sokongan keluarga, komitmen komuniti serta kerjasama semua pihak.
Beliau berharap Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 mencapai objektifnya, memberikan manfaat kepada masyarakat dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan belia di daerah Tuaran serta seluruh Sabah.

Hajiji bersama tetamu jemputan pada majlis perasmian Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 di Padang Istiadat Tuaran.







