Kota Kinabalu: Sebuah premis di tingkat lima bangunan Centre Point, di sini, mencetuskan kekecohan apabila papan tanda di pusat hiburan berkenaan terbakar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, ratusan pengunjung, pemilik dan pekerja kedai di bangunan berkenaan turut lari menyelamatkan diri masing-masing selepas air pancuran (wet raiser) tiba-tiba berfungsi.
Seorang pengunjung yang dikenali sebagai Jefri, 30, berkata, dia dan teman wanitanya baru saja sampai berada di tingkat lima bangunan berkenaan untuk menonton wayang.
Bagaimanapun katanya, keadaan tiba-tiba bertukar kecoh apabila pengunjung dan pekerja di tingkat itu mula melarikan diri untuk turun ke tingkat bawah beramai-ramai.
“Keadaan bertambah panik apabila kami melihat asap tebal mula menyelubungi tingkat lima berkenaan dan air pancuran mula dilepaskan.
“Kami terus turun ke tingkat bawah sebelum keluar daripada bangunan untuk keselamatan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Jefri berkata, selepas lebih 30 minit, keadaan dikhabarkan kembali normal apabila api dapat dipadamkan sejurus selepas disedari.
Difahamkan, pasukan keselamatan bangunan berkenaan yang berada di lokasi kejadian turut bertindak pantas memadam api kebakaran menggunakan alat pemadam api.
Tamat







