Pembentukan pakatan perlu dipimpin parti tempatan – Hajiji

KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa parti-parti tempatan mesti mendominasi politik Sabah dan memimpin dalam pembentukan pakatan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.
Beliau berkata kerajaan semasa yang dipimpin oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang terdiri daripada parti-parti tempatan, mesti dikekalkan.
“Oleh itu, pilihan raya kali ini amat penting. Kita tidak boleh membuat pilihan yang salah.
“Soal kerjasama adalah perkara lain. Selaras dengan sentimen rakyat, parti-parti tempatan mesti menjadi teras kepada kerajaan,” katanya semasa merasmikan Kongres Umum 2025 Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) di Dewan Terbuka Seri Dungkuan, Kampung Rampayan Laut.
Hajiji berkata beliau tidak akan mudah menyerahkan hak dan perjuangan GRS kepada pihak yang menentang gabungan itu.
Beliau menyeru semua pemimpin dan ahli parti komponen GRS, termasuk Usno, supaya turun padang dan menjelaskan misi GRS kepada rakyat.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Usno dan parti-parti komponen lain memainkan peranan yang sama penting dalam gabungan tersebut.
“Oleh itu, saya berharap Usno akan menyatukan usaha bagi memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya akan datang.
“Itulah sebabnya penglibatan Usno dalam GRS amat penting untuk memperkukuhkan kedudukan kita.
“Usno mesti bekerjasama dengan GRS agar kita dapat mendapatkan kembali mandat rakyat dan sama-sama mempertahankan hak Sabah.
“Niat kita ikhlas dan mulia. Sebagai anak Sabah, kita mesti bersatu untuk mempertahankan hak kita,” katanya.
Beliau menambah bahawa GRS memerlukan semua rakan gabungan memikul tanggungjawab secara saksama tanpa mengira saiz parti.
“Kita mahu memperjuangkan nasib rakyat yang masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Kita mahu meningkatkan taraf hidup mereka.
“Kita mahu mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Sabah. Sebab itu GRS perlu diberi mandat baharu untuk mentadbir negeri ini,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Usno atas komitmen mereka terhadap GRS, seperti yang dizahirkan menerusi slogan oleh presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia: ‘Usno dan GRS, tidak dapat dipisahkan.’

TIBA …. Hajiji bersama Pandikar disambut oleh ahli-ahli Usno semasa kongres berkenaan.