Oleh FARDY BUNGGA
BELURAN: Polis berjaya menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian komponen kenderaan Toyota Hilux di tempat letak kereta sebuah hotel di Pekan Telupid, di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 36 tahun terbabit berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kes dilaporkan pemilik kenderaan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 1 pagi, Isnin lalu.
Katanya, kejadian melibatkan sebuah Toyota Hilux Single Cab milik seorang lelaki berusia 22 tahun yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta hotel berkenaan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Tambunan pada keesokan harinya.
“Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek berada di lokasi kejadian.
“Kejadian disedari mangsa selepas mendapati kenderaannya gagal dihidupkan sebelum pemeriksaan mendapati komponen transfer shift actuator telah hilang dan dipercayai dicuri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Hasan berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM1,500.
Katanya, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Beluran bersama Balai Polis Telupid berjaya menahan suspek pada jam 8.30 malam, hari yang sama.
“Hasil tindakan susulan, suspek telah membawa pihak polis ke lokasi penyimpanan barang kes sebelum polis berjaya merampas satu unit transfer shift actuator dan satu batang ratchet handle socket yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut,” katanya.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan cuba mengenal pasti kemungkinan penglibatan individu lain dalam kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, Hasan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kenderaan diletakkan di kawasan yang selamat.
Katanya, pemilik kenderaan juga digalakkan untuk memasang peralatan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bersesuaian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Suspek berusia 36 tahun berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.Komponen kenderaan yang dipercayai dicuri turut berjaya dirampas daripada suspek.




