Satu melecur seorang lagi maut dalam dua kejadian berasingan

Oleh JAMES LEONG


LAHAD DATU: Seorang lelaki melecur selepas rumah kayu didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Tabanak, di sini, manakala seorang lelaki dipercayai warga asing maut akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian berasingan di Kampung Puyut, hari ini.
Dalam kejadian pertama, Pusat Gerakan Operasi (PGO) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 10.32 pagi berhubung kebakaran rumah di Jalan Hilir 2, Kampung Tabanak.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.38 pagi selepas perjalanan sejauh enam kilometer dengan kekuatan 12 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Ag Hazizan Hashim.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 800 kaki dan dua pancutan air dari sumber air terbuka.
Rumah berkenaan hampir musnah sepenuhnya, manakala penyewa lelaki berusia 40 tahun mengalami kecederaan melecur dan dibawa ke hospital oleh orang awam. Dokumen pengenalan mangsa turut musnah dalam kebakaran itu.
Api berjaya dikawal pada jam 12.09 tengah hari sebelum operasi ditamatkan pada 12.20 tengah hari selepas pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi punca bara.
Dalam kejadian kedua pada jam 12.47 tengah hari, BBP Lahad Datu menerima panggilan mengenai seorang lelaki terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut, kira-kira enam kilometer dari balai.
Seramai 12 anggota tiba di lokasi pada jam 12.55 tengah hari dan menemukan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Mangsa dipercayai warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan. Penduduk kampung turut memaklumkan mangsa tidak dikenali dalam kalangan penduduk setempat.
Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata bekalan elektrik diputuskan Sabah Electricity sebelum mayat mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 1.36 tengah hari selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa renjatan elektrik di Kampung Puyut, Lahad Datu, semalam.