Sabah mahu lahir generasi pencipta teknologi

Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Sabah mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu memahami, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membangunkan inovasi sesuai dengan keperluan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penguasaan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kini bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, Sabah perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna kepada pencipta teknologi, selaras perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi digital, bioteknologi, teknologi angkasa dan tenaga boleh baharu.
“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh hanya sekadar melihat atau menjadi pengguna teknologi semata-mata. Kita perlu membangunkan generasi yang mampu memahami teknologi, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membina inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, Selasa. Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Rina Jainal.
Hajiji berkata penguasaan STI penting bagi menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang AI, teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
Katanya, kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi, kepelbagaian budaya dan potensi ekonomi Sabah boleh diperkasakan melalui inovasi dalam pertanian pintar, keselamatan makanan, tenaga hijau, kesihatan, teknologi marin dan ekonomi digital.
Beliau turut menegaskan pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pelaburan jangka panjang, selain memperluas program STI ke sekolah dan komuniti luar bandar serta pedalaman.
“Setiap usaha mendekatkan generasi muda kepada STI merupakan pelaburan untuk masa depan Sabah,” katanya.

Rina bergambar bersama pasukan SK Membedai, Labuan, juara Pertandingan Cabaran Siasatan Jenayah pada Program Pembudayaan STI Bersepadu di UMS, Kota Kinabalu, Selasa.