SMK Bingkor dekatkan pelajar dengan warisan kraftangan

KENINGAU: Warisan budaya tidak cukup sekadar dipelajari menerusi buku teks, sebaliknya perlu dilihat, disentuh dan dihayati secara langsung.
Pendekatan itu diterapkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor menerusi lawatan pendidikan 16 ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ke Pusat Kraftangan Sabah, di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan memberi peluang kepada pelajar mendapatkan pengalaman pembelajaran secara langsung berkaitan seni, budaya dan kraftangan tempatan, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara warisan masyarakat setempat.
Penaung program merangkap Pengetua SMK Bingkor, Gilberth S. Olas, berkata pendedahan berkenaan bukan sahaja memperkaya pengetahuan pelajar, malah membentuk sikap menghargai warisan budaya serta tanggungjawab memeliharanya untuk generasi akan datang.
“Pembelajaran di luar bilik darjah turut memberi ruang kepada ahli PRS mengembangkan potensi diri melalui interaksi dan aktiviti berkumpulan.
“Pengalaman seperti ini membantu pelajar membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan,” katanya.
Program itu turut mendapat sokongan pengurusan sekolah dan guru penasihat, termasuk Penolong Kanan Tingkatan Enam, Rasidi Jumil; Ketua Guru Penasihat PRS, Angelin Linus; serta guru penasihat Sallehnor Siman, Justine Salim, Ema Suriati BMohd Ridzuan dan Mariam Halim.
Menariknya, pelajar turut diberi tanggungjawab mengurus pelaksanaan program sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran.
Jawatankuasa pelaksana diketuai Awfiyah Badrul Hisyam selaku penyelaras program, dibantu Elrha Eva Angel Aldrovandi Likoh sebagai timbalan penyelaras; Ammar Danish Maisin (setiausaha); Vylen Barnard (timbalan setiausaha); Fezra Erryca Jaedrind (bendahari) dan Freddy Frederic (timbalan bendahari).
Penglibatan itu membolehkan pelajar mengasah kemahiran organisasi, komunikasi dan kepimpinan, selain mengenali potensi kreativiti serta kemahiran kraftangan sebagai nilai tambah pembangunan diri.
Lawatan berkenaan diharap dapat menyemai minat lebih mendalam terhadap seni kraftangan tempatan, sekali gus mendekatkan generasi muda dengan nilai, cerita dan tanggungjawab dalam memelihara warisan budaya.-JT

JAWATANKUASA pelaksana diketuai Awfiyah Badrul Hisyam bergambar bersama pelajar selepas program lawatan pendidikan ke Pusat Kraftangan Sabah, Keningau.