KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menyambut baik sejumlah peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi transformasi digital dalam sektor media.
Presiden SJA Mariah Doksil berkata, inisiatif itu mencerminkan kesedaran kerajaan terhadap sumbangan penting pengamal media dalam membina masyarakat yang bermaklumat dan demokratik.
“SJA mengalu-alukan peruntukan untuk transformasi digital. Kami melihatnya sebagai pengiktirafan yang signifikan dalam membentuk masyarakat bermaklumat dan demokratik,” katanya dalam kenyataan.
Mariah menegaskan peruntukan itu merupakan peluang untuk para pengamal media melengkapkan diri dengan kemahiran baharu, menyesuaikan diri dengan alatan moden serta meningkatkan mutu laporan selaras dengan kemajuan teknologi.
“Dalam dunia yang semakin dibentuk oleh Kecerdasan Buatan (AI), wartawan perlu dilengkapi dengan kemahiran yang betul agar kekal relevan dan beretika.
“Kami berharap latihan atau program di bawah peruntukan ini dapat membantu wartawan memberi keutamaan kepada ketepatan fakta tanpa manipulasi AI, di samping mengekalkan jiwa dan empati dalam kewartawanan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan pelaksanaan program yang inklusif dengan menyeru penglibatan yang bermakna bersama persatuan media diperingkat negeri.
“Sesi libat urus bersama persatuan media negeri amat penting. Penglibatan Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya dianggap sebagai sekadar simbolik atau formaliti. Petunjuk prestasi (KPI) yang jelas harus ditetapkan untuk mengukur keberkesanan program ini,” katanya.
Berkenaan langkah kerajaan mengukuhkan kebajikan wartawan sambilan tempatan dan nasional melalui skim perlindungan sosial PERKESO dan caruman KWSP i-Saraan, SJA menyatakan penghargaan serta menyeru agar pelaksanaannya mudah diakses dan difahami.
“Wartawan sambilan tempatan merupakan tulang belakang liputan kawasan luar bandar, manakala wartawan sambilan nasional menyumbang perspektif yang pelbagai dari Sabah ke peringkat nasional.
“Inisiatif ini amat tepat pada waktunya dan diperlukan untuk melindungi kebajikan sosial mereka serta menjamin masa depan mereka.
“Kami berharap program ini mudah diakses dan mesra pengguna untuk golongan yang disasarkan,” ujarnya.
Mariah turut mencadangkan penubuhan satu platform khas untuk mengumpul dan menyelenggara data wartawan sambilan di seluruh negara, bagi menyediakan sokongan yang lebih tersusun dan menyeluruh.
“Daripada 115 ahli SJA yang aktif, kira-kira 20 peratus adalah wartawan sambilan.
“Platform berpusat ini akan banyak membantu dalam memastikan keperluan mereka dipenuhi dan sumbangan mereka lebih diiktiraf,” katanya.








