Remaja lemas ketika mandi di Sungai Tagal

TAWAU: Seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di Sungai Tagal, Kampung Kijang, Merotai, di sini, Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa bersama 12 rakannya pergi ke sungai berkenaan untuk mandi.
Menurut laporan awal, mangsa bersama enam rakannya berada di dalam sungai, manakala enam lagi berada berhampiran sambil menyediakan makanan.
Keadaan bertukar cemas apabila arus sungai tiba-tiba menjadi deras dan berbahaya. Keenam-enam rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dan naik ke tebing, namun mangsa dihanyutkan arus sebelum tenggelam.
Rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada penjaga Sungai Tagal yang segera ke lokasi dan terjun ke sungai bagi mencari mangsa.
Mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, selepas pemeriksaan serta usaha resusitasi dilakukan, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat.
Pemeriksaan fizikal mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan dokumentasi berkaitan.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti riadah berhampiran sungai serta mengelakkan risiko tidak perlu sekiranya mendapati berlaku perubahan arus atau aliran sungai yang deras.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Fredolen Biin, di talian 019-8136953 bagi membantu siasatan.

Superintenden Wilynton Enchana Watt.