Oleh FARDY BUNGGA
KOTA BELUD: Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut susulan penemuan seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di dalam bilik sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tanjung Pasir, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan berkenaan kira-kira 4.20 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalnakan siasatan lanjut.
“Mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 20-an kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud.
“Mayat mangsa terus dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Khairul Shah berkata, setakat ini, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Frankie Pain di talian 019-215 1132,” katanya.


Pasukan polis mengangkat mangsa untuk dihantar ke Hospital Kota Belud.








