Ranau: Seorang lelaki warga asing yang menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Nalapak, di sini, berjaya ditahan, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, lelaki terbabit dikatakan masuk ke kedai runcit yang dijaga seorang wanita yang juga pemilik kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, suspek yang mengugut menggunakan benda tajam turut mengarahkan mangsa supaya tidak membuat bising dan menyerahkan wang tunai.
Katanya, mangsa yang ketakutan terus menyerahkan wang sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung untuk mengejar suspek. Beberapa penduduk kemudiannya mengejar dan terus berjaya menahan suspek.
“Penduduk kampung juga berjaya merampas semula wang tunai yang dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Simiun berkata, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Balai Polis Ranau untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun.
Sehubungan itu, Simiun menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan berhubung kes berkenaan.
Tamat




