Dua lelaki curi kabel TM ditahan.

Beaufort: Dua lelaki ditahan polis selepas dikesan terbabit dalam melakukan kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian Jalan Sipitang – Beaufort berhampiran Kampung Bukau dan Jalan Kilang Sawit Borneo Samudera Sdn. Bhd, di sini, hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia 18 dan 25 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan yang dijalankan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tamalangalong Weston, di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kes kehilangan kabel milik TM, 9 Disember lalu.

Katanya, siasatan dijalankan selepas dua pekerja TM yang ditugaskan untuk memantau dan menjaga kabel TM mendakwa ternampak sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aerobik berwarna hijau bergerak meninggalkan kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan berkenaan dikatakan melarikan diri selepas menyedari kehadiran pekerja TM yang membuat rondaan di kawasan tempat kejadian.

“Hasil siasatan, polis kemudiannya menahan kedua-dua suspek dan mereka mengaku terbabit dalam enam kes kecurian kabel TM yang dilaporkan berlaku di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kes kecurian kabel sepanjang 5,500 meter yang dianggarkan bernilai RM155,375.

Katanya, kedua-dua suspek turut didapati mempunyai kes jenayah lampau membabitkan jenayah dadah.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon untuk meneruskan siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.

Tamat