Sipitang: Dua lelaki yang bekerja di sebuah agensi kerajaan di sini, ditahan selepas didapati positif dadah, semalam.
Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.
Katanya, sebaik ditahan, kedua-dua suspek diarahkan membuat pemeriksaan dan ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kedua-dua suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut mengikut mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sehubungan itu, Champin berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi Op Tapis dari semasa ke semasa.
Katanya, ia adalah salah satu usaha bagi mengesan pembekal dan penagih dadah syabu dalam usaha menyelamatkan lebih ramai masyarakat daripada kegiatan ketagihan syabu.
“Saya mohon kerjasama dari masyarakat Sipitang supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan segera.
“Mereka yang disyaki penagih dan pembekal dadah syabu di Sipitang perlu segera ditahan supaya masalah dadah syabu dapat dibenteras khususnya di daerah Sipitang,” katanya.
Tamat






