Kimanis: Seorang wanita dan bayinya berusia setahun meninggal dunia dalam kejadian kemalangan sendiri di kilometer 40, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang duduk dibahagian hadapan sambil memangku bayinya dikatakan tercampak keluar sebaik kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra yang dinaiki terbabas.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika kenderaan keluarga terbabit menuruni jalan bukit berselekoh.
Katanya, dalam keadaan hujan lebat, kenderaan yang dipandu suami mangsa berusia 40-an, dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh bukit
“Kenderaan berkenaan dilaporkan berpusing berapa kali sehingga mengakibatkan seorang bayi dan ibunya tercampak dari kenderaan.
“Akibat kemalangan berkenaan, bayi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu mangsa yang parah dihantar ke Hospital Papar sebelum disahkan meninggal dunia di wad kecemasan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Batholomew berkata, tiga lagi mangsa membabitkan seorang kanak-kanak, 12, dan wanita berusia 20-an serta pemandu kenderaan turut mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni jalan bukit berselekoh dan terus melanggar bukit.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Tamat






