Bantuan ‘Back To School’

Tuaran: Seramai 700 murid daripada 33 sekolah rendah sekitar Tuaran dan Tamparuli menerima bantuan beg dan peralatan sekolah sempena pembukaan sesi persekolahan esok.

Bantuan berkenaan diberikanYayasan Kebajikan Sabah dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri serta Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran dan disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji ketika ditemui berkata, program berkenaan diadakan bagi memberi bantuan kepada murid-murid di daerah Tuaran dan Tamparuli sempena pembukaan semula sekolah bermula esok.

Katanya, semua 700 murid ini adalah daripada golongan keluarga kurang berkemampuan yang sudah disenaraikan Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran.

“Saya berharap dengan bantuan beg sekolah ini akan dapat meringankan bebanan ibu bapa kepada murid-murid kurang berkemampuan ini.

“Kita pastikan pendidikan menjadi keutamaan bukan saja kepada anak-anak ataupun keluarga tetapi juga kerajaan negeri,”’katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, pendidikan adalah salah satu modal insan sebagai teras utama dalam hala tuju Sabah Maju Jaya.

Tamat