Dua rentung dan tujuh cedera.

Tawau: Pasangan suami isteri maut manakala tujuh lagi penduduk lain cedera selepas rumah mereka di Kampung Sungai Buaya, Batu 2 1/2, Jalan Apas, di sini, terbakar tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa Saiful Rosli, 32, dan Jumaidah M.Jida, 36 tahun ditemui rentunf selepas dipercayai terperangkap di rumah mereka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.32 tengah malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 26 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman api menggunakan dua aliran sepanjang 130 meter dengan empat pancutan menggunakan sumber air jentera dan parit berhampiran.

“Tujuh mangsa berusia 6 hingga 45 tahun yang mengalami kecederaan melecur sudah dihantar ke Hospital Tawau oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 2.07 pagi manakala mangsa yang rentung pula ditemui sekitar jam 4.45 hingga 5.50 pagi.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

Tamat