Kota Kinabalu: Siasatan menyeluruh berhubung kes saman trafik yang tular di media sosial membabitkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabtu lalu, sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan berkenaan dijalankan secara teliti dari pelbagai sudut bagi mengenalpasti insiden sebenar.
Katanya, ia termasuk mengambil keterangan pemilik akaun facebook dan semua 12 anggota bertugas pada hari kejadian berkenaan.
“Polis sudah meneliti rakaman ‘dash cam’ pada kenderaan individu terbabit dan turut memperolehi rakaman camera litar tertutup (CCTV) daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, siasatan dijalankan dengan adil dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melanggar undang-undang atau peraturan dan prosedur operasi tetap polis.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan komen yang menggusarkan atau menimbulkan persepsi negatif kerana ia dibimbangi akan menjejaskan siasatan polis.
Tamat






