AMALAN BAIK PERATURAN (GOOD REGULATORY PRACTICE – GRP) SABAH

20 Januari 2022, Kota Kinabalu – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berfungsi sebagai badan pemantau yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan Amalan Baik Peraturan (GRP) yang merangkumi peningkatan kualiti peraturan baharu dan sedia ada dalam usaha melahirkan penyampaian perkhidmatan sektor awam yang lebih cekap dan telus.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah MPC Wilayah Sabah, YBrs. En. Mokhzani Aris Mohd Yusoff, inisiatif Negeri Produktif telah diperkenalkan bagi menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memacu Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 – 2025 yang memberi penekanan khusus kepada tiga (3) elemen utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; dan Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

Program Sabah Produktif merupakan inisiatif yang dibangunkan selaras dengan SMJ yang bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti negeri Sabah bagi memastikan ekosistem yang teguh melalui pelaksanaan Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice – GRP) Sabah. GRP Sabah diguna pakai kepada semua peraturan yang memberi kesan terhadap aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Pelaksanaan inisiatif ini akan membantu meningkatkan ekosistem yang teguh dalam mewujudkan persekitaran yang memudah cara perniagaan serta menyumbang kepada jangkaan 25% penjimatan kos pematuhan menjelang 2025.

Dua (2) dokumen / rujukan penting berkaitan GRP Sabah iaitu Pekeliling Am Bilangan 1/2021 – Pelaksanaan Polisi Amalan Baik Peraturan bagi Negeri Sabah telah diluluskan oleh YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, JP Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah pada 23 Ogos 2021 dan Polisi Amalan Baik Peraturan Negeri Sabah telah dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah pada 29 September 2021.

GRP Sabah dipandu arah, diselia dan dipantau oleh Jawatankuasa Pemandu GRP Sabah (JPGRP) dan Jawatankuasa Teknikal GRP Sabah (JTGRP) manakala Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Sabah adalah Sekretariat GRP Sabah. MPC Wilayah Sabah bertanggungjawab membantu dan bekerjasama dengan JPAN Sabah terutamanya dalam memberikan khidmat rundingan dan bimbingan kepada Agensi Negeri Sabah dalam melaksanakan Analisis Impak Peraturan (Regulatory Impact Analysis – RIA).

Kerajaan Negeri Sabah telah diiktiraf melalui Anugerah Negeri Aktif Melaksanakan GRP semasa Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP) yang diadakan pada 25 November 2021.

Forum GRP Sabah akan diadakan pada tahun 2022 yang bertujuan untuk mempromosikan pelaksanaan GRP di negeri Sabah dan menggalakkan penglibatan aktif terutamanya dalam kalangan kementerian dan agensi serta pemain industri. Forum ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan GRP dalam kalangan penggubal dasar dan pengawal selia dalam memastikan pengeluaran dasar dan peraturan yang berkualiti.

 

Tamat