Ajaran sesat ‘Wali Tujuh’ diserbu.

Kota Kinabalu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyerbu sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan, di sini, semalam, selepas dipercayai menjadi ‘markas’ ajaran sesat Wali Tujuh.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai tiga individu yang juga pendatang tanpa izin (PTI) ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, berdasarkan risikan awal, kumpulan ini yang diketuai seorang guru dengan dibantu dua pengikut mula bergiat aktif sejak 3 bulan lalu.

“Kumpulan ini membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang berkembang pantas sehingga berjaya menarik minat ramai warga asing sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.

“Setakat ini, kumpulan ajaran sesat ini mempunyai seramai 20 orang pengikut terdiri daripada pekerja ladang di sekitar daerah berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hamzah berkata, hasil pemeriksaan terhadap individu-individu terbabit, pihaknya merampas beberapa barang peribadi antaranya kalendar putikaan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di ESS Zone.

Tamat