Kumpulan Pengedar Beras terbesar Sabah, Syarikat Sazarice Sdn Berhad & Sabarice Sdn Bhd buat julung kalinya menganjurkan Program ‘Jom Masak Bersama Sazarice’ iaitu sebuah Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Daerah Kota Kinabalu dengan Kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 15 Oktober 2022.
Pertandingan yang disertai oleh 10 buah Sekolah Menengah menyaksikan 30 peserta berentap di Dapur Sazarice menyediakan hidangan yang berunsur Tradisi Sabah dengan menggunakan Beras Basmathi Sazarice demi menepati slogan ‘Gaya Hidup Sihat Dengan Basmathi’ serta konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu ‘Suku Suku Separuh’ seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bertempat di SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Penutupan Program dirasmikan oleh En Mohd Aizan bin Ermando, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu. Turut dihadiri ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sazarice Sdn Bhd & Sabarice Sdn Bhd, En Akip bin Ismaila dan En Saliman bin Samin selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Bandaraya. Dalam ucapan yang disampaikan oleh En Akip bin Ismaila, Sazarice Sdn Bhd & Sabarice Sdn Bhd akan sentiasa menyokong inisiatif program sebegini kerana ia bukan sahaja mampu mencungkil bakat pelajar di dalam bidang masakan, malah untuk memperkenalkan jenama Beras Sazarice serta menitikberatkan gaya pemakanan yang sihat melalui beras basmathi Sazarice.
Dihadiri oleh 200 tetamu dan pengunjung, program ini turut diselitkan dengan beberapa program lain yang menarik seperti Sesi ‘Nutritional Talk’ yang disampaikan oleh Ms Chin Kim Ling, Pegawai Pemakanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Sesi Demonstrasi Masakan menggunakan Beras Basmathi oleh Chef Wenda.
Kemeriahan program diteruskan apabila Sekolah Sukan Malaysia Sabah telah dinobatkan sebagai Johan Program Jom Masak Bersama Sazarice yang terdiri daripada Siti Norariqah binti Anjah @ Arpi, 17; Debbie Arbanah binti Syardey,17 dan Nor Syakirah Fatin binti Mohd
Rashid,17. Pemenang dan sekolah masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, trofi, sijil, Beras Basmathi Sazarice dan Patung Momom Edisi Terhad. Naib johan telah disandang oleh SM St Francis Convent (M) manakala tempat ketiga dimenangi oleh
SMK Likas. Tidak ketinggalan tempat keempat dan kelima diberikan kepada SM Stella Maris dan SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah sehingga RM3,700.00 ditawarkan bagi program Jom Masak Bersama Sazarice.
Harapan semua pihak bagi program ini pada masa akan datang ialah memperkembangkan anjuran program ini ke tahap yang lebih tinggi dengan meliputi Sekolah -Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sabah.






