Jangan ulangi kesilapan lalu mengundi Pembangkang- Lau.

Lau bertemu seorang peniaga pada program di bandar Sandakan pada Ahad.

Sandakan: Rakyat di kawasan Parlimen Sandakan dinasihatkan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memberi undi kepada calon pembangkang.

Ia bagi mengelakkan daripada berlakunya kegagalan dalam membawa pembangunan di negeri ini terutamanya di Daerah Sandakan.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GSR) bagi Parlimen Sandakan, Lau Chi Keong @ Thomas Lau berkata, kawasan Parlimen Sandakan memerlukan perancangan ekonomi yang mampan.

Katanya, sekiranya diwakili calon kerajaan, maka ia dapat memastikan pelaksanaan pembangunan lebih efisyen dan efektif.

“Bandar kita yang tersayang tidak boleh jatuh ke tangan pembangkang lagi kerana daerah ini sangat memerlukan perancangan  pembangunan ekonomi.

“Pelaksanaan pembangunan ini akan lebih efisyen dan efektif jika wakil rakyatnya adalah sebahagian daripada kerajaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program bertemu masyarakat di Pasar Tamu Mingguan, di bandar Sandakan, hari ini.

Lau berkata, kerajaan akan mempunyai kelebihan sekiranya berada dalam GRS dan kerajaan Sabah.

“Sekiranya pengundi Sandakan memberi saya mandat, saya akan dapat membawa lebih banyak perubahan positif berbanding dengan pembangkang.

“Ini terbukti dengan keadaan ekonomi yang terbantut di Sandakan apabila kerusi itu disandang oleh parti pembangkang,” katanya.

Lau yang juga Naib Presiden SAPP berkata, antara agenda yang dirancang adalah memajukan ekonomi menerusi tiga sumber sedia ada iaitu industri kelapa sawit, industri pelancongan serta industri pertanian dan perikanan.

Katanya, ia mampu menarik lebih banyak pelaburan sekiranya diusahakan dengan lebih terancang.

“Apabila pertumbuhan ekonomi lebih kukuh, bermakna lebih banyak peluang pekerjaaan kepada anak-anak muda dapat diwujudkan.

“Ini juga bermakna mereka tidak perlu lagi berhijrah ke tempat lain seperti Semenanjung Malaysia atau Singapura untuk bekerja selain dapat mewujudkan kemudahan awam serta infrastruktur yang lebih baik,”’katanya.

Sementara itu, ketika program bertemu masyarakat berkenaan, Lau berkata, beliau menerima maklumbalas positif di mana ramai dalam kalangan penduduk memberikan reaksi yang baik.

Katanya, ramai yang menyatakan bahawa mereka adalah penyokong Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tamat