
Penampang: Seramai 22 peserta berjaya menamatkan Kursus Asas Pengadil Bolasepak Siri 1/2023 anjuran Jawatankuasa Persatuan Pengadil Bolasepak Daerah Penampang, baru-baru ini.
Setiausaha Persatuan Pengadil Daerah Penampang, Freddy Pamaas berkata, kursus dikendalikan Bekas Pengadil Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Salim Limbai dan dibantu Bekas Pengadil Kebangsaan (FAM), Juin Joseph.
Katanya, objektif utama kursus ini adalah bagi melahirkan pengadil muda pelapis kepada pengadil yang sedia ada.
“Ia juga bagi memberi peluang kepada barisan pelapis untuk mengetengahkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu, ia juga mencari pengadil wanita kerana negara ini sangat memerlukan pengadil yang terdiri daripada golongan wanita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Freddy berkata, kursus ini juga dapat membantu pengadil pada masa akan datang untuk menjana pendapatan sampingan serta mempelajari undang-undang baru dalam permainan bola sepak.
Sementara itu, majlis Perasmian Penutupan kursus selama dua hari itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi SAFA Daerah Penampang merangkap Pengerusi Pengadil Daerah Penampang, Raymond Ramp.








