Balai Polis Inanam, tingkatkan perkhidmatan polis kepada masyarakat.

Pembinaan Balai Polis Inanam baharu dimulakan pada 22 Mei 2018 bernilai RM15.4 juta sebelum siap sepenuhnya pada 7 Mei 2021.

Kota Kinabalu: Pembukaan Balai Polis Inanam baharu bukan saja pengiktirafan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga membantu meningkatkan perkhidmatan polis kepada masyarakat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, prasarana yang kondusif ini sudah pasti akan memberi motivasi kepada warga PDRM untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Katanya, ia selaras dengan inisiatif polis dalam membendung jenayah termasuk mempertingkatkan ‘Omni Presence’ bagi menambahbaik rasa selamat masyarakat.

“Dengan adanya prasarana seperti ini, lebih mudah untuk kita memberi perkhidmatan  yang baik kepada masyarakat setempat.

“Ia sememangnya pendekatan polis iaitu menghadirkan diri kepada masyarakat untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Inanam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

Idris menerima cenderahati daripada Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

Idris berkata, pembinaan lebih banyak balai polis perlu terutamanya di Sabah yang mempunyai kawasan amat luas.

Datuk Wong Thien Fook

Sementara itu, Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook berkata, pembukaan Balai Polis Inanam yang baharu ini amat disambut baik.

Katanya, ia bukan saja menambahbaik keselamatan di kawasan sekitar, tetapi juga memudahkan masyarakat setempat mendapatkan bantuan sekiranya perlu.

“Ini juga salah satu pembangunan yang amat diperlukan di Inanam dan kawasan berhampiran.

“Ini kerana umum mengetahui, Sepanggar mempunyai kawasan luas dan penduduk yang ramai. Maka dengan adanya prasarana ini, sudah pasti kadar jenayah mampu ditangani dengan lebih baik,” katanya.

Tamat