
Tawau: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian kes rogol membabitkan mangsa kanak-kanak berusia 12 tahun.
Lelaki berusia 32 tahun itu berjaya ditahan polis di kawasan kebun kelapa sawit persendirian, Kampung Iban, Merotai Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa tinggal di rumah suspek, sejak beberapa hari lalu.
Katanya, kejadian terbongkar selepas mangsa dikatakan menghubungi saudara-mara dan menceritakan perbuatan keji suspek.
“Berdasarkan laporan diterima, polis terus mengambil tindakan segera dengan menjalankan operasi untuk mengesan dan menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut.
“Suspek ditahan sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen diri yang sah.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 ,” katanya.
Tamat




